Semalam Akhbar Berita Harian melaporkan pendedahan daripada Persekutuan Majikan - majikan Malaysia berhubung ada dalam kalangan mahasiswa / i IPT yang menjadi penghantar surat mahupun pembancuh minuman ketika menjalani latihan praktikal. Bahkan pagi ini tadi radia IKIM.FM turut membincangkan serta mendapatkan pandangan ramai akan topik yang sama.
Hal ini mengundang saya untuk memberikan sedikit pandangan... Ya realitinya itulah antara pengalaman " ngeri " yang dilalui oleh kebanyakan mahasiswa / i sejak dulu lagi. Tidak salah jika ada yang beralasan tujuan mereka diperlakukan sedemikian adalah untuk menguji daya tahan di samping membekalkan diri pelatih ini dengan kemahiran pelbagai " multi skilling ". Namun harus di ingat, sikap majikan yang seolah - olah menperhambakan golongan cendekiawan ini ibarat mewariskan satu bentuk amalan negatif untuk dijadikan budaya untuk masa - masa mendatang.
Memang, tidak kita nafikan pelajar amali perlu didedahkan dengan segala bentuk pengetahuan dan pengalaman. Namun biarlah ia bertepatan dengan gagasan negara dalam melahirkan generasi yang mantap serta berdaya saing. Jika ruang masa yang sedikit yang diperuntukkan kepada golongan siswa / siswi ini untuk menimba ilmu, dimomokkan dengan perkara - perkara karut marut, maka dibimbangi setelah keluar bergraduan kelak, generasi ini bakal menjadi generasi yang kurang daya fikir, kurang daya saing, kurang berinovatif dan bermotivasi rendah. Ini kerana awal - awal lagi golongan majikan memberikan tanggapan negatif serta membekalkan mereka dengan budaya kerja yang tidak sihat.
Pengalaman ketika menghadiri kem musim panas belia Asia Tenggara pada 2003 memberi saya kesempatan untuk berkongsi cerita perihal siswa / siswi di universiti - universiti luar akan budaya serta metodologi praktikum yang mereka bakal atau telah hadapi. Siswa / siswi di Jepun sebagai contoh perlu memperlihat segala kebolehan mereka semasa menjalani latihan amali dan mereka perlu membuat sehabis baik sehinggakan pihak majikan menawarkan pekerjaan kepada golongan ini dalam tempoh latihan amali. Ini bermakna, sekiranya mereka gagal dalam menempatkan diri dalam sektor di mana mereka menjalani amali, atau dengan kata lain mendapatkan tawaran kerja, maka latihan amali tersebut dianggap gagal.
Saya amat kesal dan sedikit terkilan, melihat ada di antara pelatih amali ini disia - siakan kebolehan mereka dengan hanya diletakkan di sudut kecil pejabat dan dilayan seperti budak pejabat. Alangkah beruntungnya jikalau apa jua kemahiran mereka ini diguna pakai dan dijana supaya boleh menjadi satu aset penting dalam organisasi / syarikat untuk memastikan pembangunan berterusan ( sustanaible development ) untuk kemaslahatan bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment