Monday, February 9, 2009

"Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir Atau Kurang Zikir ?


Perkembangan politik masa kini menggerakkan saya untuk mengambil
petikan berikut daripada buku "Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir Atau
Kurang Zikir?" oleh Pahrol Mohamad Juoi, untuk renungan bersama. War-
warkan kepada rakan-rakan lain kalau boleh.


Bab 10 : Membina Kematangan Politik Orang Melayu
Survival bangsa Melayu, yang pada sesetengah pihak sangat sinonim
dengan soal ketuanan Melayu, sangat bergantung kepada kuasa politik.
Selagi Melayu menguasai politik, selagi itulah Melayu akan terus kuat
dan berdaulat. Demikian keyakinan yang sering dilaungkan oleh
sesetengah pihak untuk menunjukkan betapa satu-satunya tempat orang
Melayu berpaut bagi mempertahankan keutuhan dan maruah ialah kuasa
politik. Inilah satu satunuya “dahan” untuk Melayu berpaut
memandangkan pencapaian dalam bidang ekonomi dan akademik masih belum
mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Malah Melayu masih perlukan
sistem kuota, subsidi dan “imuniti” untuk menghadapi cabaran
globalisasi.
POLITIK KOTOR
Ironinya politik yang dianggap kotor itulah nampaknya terus menjadi
benteng terakhir untuk mempertahankan orang Melayu agar tidak
menjadi ”hamba” dengan gelaran ketuanannya. Namun apakah orang Melayu
sudah matang berpolitik hingga membolehkan mereka terus mempertahankan
kuasa pada masa akan datang? Atau di bidang ini pun sesuatu yang
negatif sedang berlaku yang mana jika tidak ditangani dengan tepat
akan menghakis kuasa politik Melayu.
KEKUATAN POLITIK MELAYU TERHAKIS
... Sesetengah ahli akademik beranggapan bahawa gaya dan pola politik
Melayu masa kini begitu celaru dan tidak menunjukkan satu kematangan
selari dengan usia demokrasi di Malaysia. Ini kerana orang Melayu yang
terpecah kepada dua kelompok besar parti politik yang telah saling
bercakaran TIDAK KIRA MUSIM, TEMPAT dan SUBJEK.
Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin
kabur dan luntur oleh lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki
yang semakin marak.Cara menyerang lawan begitu agresif ... hingga
meletakkan situasi pada keadaan ” kalah jadi abu,menang jadi arang”.
Pertembungan bukan saja berlaku pada musim pilihanraya tetapi terus
berlaku PADA SETIAP MASA DAN PERKARA. Pasca Pilihanraya ke-12 telah
menunjukkan betapa buruknya ”wajah politik” orang Melayu.
Pihak yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus
menyalak yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak
puas hati dan terus menghenyek yang di bawah. TERLUPAKAH KITA BAHAWA
KERJA UNTUK ”MEMBINA” SESUNGGUHNYA MASIH BANYAK? MENGAPAKAH KERJA
UNTUK ”MERUNTUH” PULA YANG JADI KEUTAMAAN? Sesetengahnya pula sibuk
mencari ”kesalahan” orang yang menang hingga terlupa melihat kesalahan
sendiri yang menyebabkan kekalahan parti.
PARTI BUSH DAN AL GORE SEBAGAI CONTOH?
Sekadar perbandingan rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya
politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika Syarikat misalnya.
Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan Presiden, calon-
calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Namun apabila
keputusan pemilihan Presiden diterima tidak begitu memuaskan hati
(merujuk kepada kes Al Gore dan George W Bush suatu masa dulu) kedua-
dua nya merujuk kepada mahkamah.
Setelah mahkamah memutuskan yang Bush adalah pemenang mutlak, Al Gore
menerima nya dan berkata ”Bush ialah Presiden saya dan rakyat Amerika
seluruhnya.” Dan selepas itu kata-mengata, tuduh-menuduh, tidak
berlaku lagi. Pemimpin yang terpilih boleh terus menjalankan tugasnya,
manakala yang kalah, akur dan sanggup memberi ketaatan sebagai rakyat.
Selepas itu rakyat Amerika, tidak kira anggota Parti Demokratik atau
pun Republican, terus bekerja membina negara dengan polisi dan prinsip
yang dibuat oleh parti Republican yang telah diamanahkan membentuk
kerajaan.
TUMPUAN RAKYAT BERALIH
Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli
akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibuk ”berpolitik” kerana
mereka telah memberi tumpuan dan disibukkan oleh tanggungjawab dan
peranan masing-masing. Kerajaan pada ketika itu lebih berperanan
sebagai jentera negara bukan lagi sebagai jentera parti yang sempit.
Melihat kepada perbandingan tersebut, jelas kematangan berpolitik
seumpama itu belum ujud di kalangan orang Melayu di negara kita. Sama
ada di pihak mana pun, masing-masing masih kuat terikat dengan
kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlalu. Akibatnya
yang menang gagal ”mengisi” kemenangan manakala yang kalah pula
terus ”menyalak bukit”.
ORANG MELAYU BERPOLITIK 24 JAM SEHARI, 7 HARI SEMINGGU
Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ”separuh
masak” ini ke jabatan kerjaan, syarikat swasta, pusat pengajian
tinggi, masjid, sekolah, kedai kopi, kaki lima dan tempat-tempat lain.
Akibatnya ORANG MELAYU BERPOLITK HAMPIR SETIAP MASA, TEMPAT DAN
PERKARA.
Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dam
pengkajian terhadap sesuatu tidal lagi berdasarkan pada etika kerja,
disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang, tetapi
lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian. Untuk memberi
sesuatu jawatan, misalnya, perlu diteliti si polan orang orang parti
mana? Kekadang untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat,
terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang berbanding
kemampuan di bidang yang berkenaan.
BUDAYA YANG MERUGIKAN BANGSA SENDIRI
Budaya negatif ini akan merugikan bangsa Melayu secara khusus dan
negara secara umum. Politik kalah mati yang diamalkan sekarang jika
tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan orang Melayu menjadi
semakin emosional dalam menghadapi sesuatu isu. Sikap profesional
berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan
terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampau
dan melulu. ... YANG DOMINAN NANTI IALAH TENAGA KERJA YANG ADA
KETAATAN (ITUPUN SECARA MENGAMPU) TETAPI TIDAK ADA KEPAKARAN.
MELAYU TIDAK CUKUP MATANG
Malangnya sering kali kebencian ”membunuh” kerasionalan. ... Adakah
kebencian terhadap sesama bangsa dan sesama agama mewajarkan kita
untuk membuka pintu kepada pihak lain yang siap siaga untuk menangguk
di air yang keroh?
AGENDA PICISAN BUKAN MATLAMAT KITA
Sayangnya minda kita sedikit terusik apabila model wacanaparti-parti
politik bukan lagi fokus kepada idea, perancangan dan program
memperkasa umat bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan
yang diwarnai oleh mainan kata, sindiran dan ejekan. Apa yang umat
Melayu dapat dari ”wacana” seperti ini?

No comments: