Tuesday, May 18, 2010

Sibu Oh Sibu - ?????




Pilihanraya kecil Parlimen P 212 Sibu telah melabuhkan tirainya. Bandar Sibu yang pada awal diumumkan tarikh penamaan calon, telah dihujani oleh lautan manusia entah dari mana asal kejadiannya. Kini Sibu kembali lengang. Namun, yang lengang hanyalah lautan manusia, rasa gembira bagi calon yang menang, serta rasa terkejut barangkali bagi calon yang kalah, masing - masing menghantui parti yang bertanding.

Sama ada kita sedar atau tidak, banyak iktibar yang boleh kita ambil daripada PRK Sibu. Daripada semangat berpasukan, daya juang serta komitmen satu hati yang ditunjukkan oleh setiap parti yang terbabit hinggalah kerakusan, kesombongan serta caci - mencaci dalam usaha menjadi jagoan untuk menempah tiket ke Parlimen.

Di pihak BN ada beberapa pengajaran yang boleh diambil dalam usaha mengembalikan kerusi yang telah hilang. Mungkin BN melihat, rakyat hari ini masih boleh dikaburkan dengan gula - gula pilihanraya ( peruntukan sana - sini ibarat mee segera ). Atau usaha menaburkan janji serta gula - gula ini lebih dilihat sebagai penyumbang kepada kekalahan. Pihak yang mendapat imbuhan sudah pasti gembira mendengar peruntukan ajaib yang diluluskan, namun satu pihak lagi yang tidak mendapat hasil akan berasa kecewa kerana ianya ibarat berat sebelah dan pilih kasih. Maka konsep " Rakyat Di dahulukan dalam 1 Malaysia " kembali dipersoalkan. Undi belum tentu, yang penting kemudahan infrastruktur dapat direalisasikan untuk kemudahan bersama. Bak kata pepatah " Rezeki jangan Ditolak, Musuh Jangan Dicari ".

Hakikatnya kalau kita menerobos jauh kepada faktor - faktor yang mungkin menjadi asbab kepada kekalahan BN kepada DAP, ada perkara - perkara kecil yang mudah untuk mana - mana pihak terlepas pandang. Pilihanraya 2008 membuktikan rakyat menolak BN. Hasilnya BN hanya mendapat majoriti mudah di Parlimen. Justeru direncanakan pelbagai program turun padang bagi mendekati hati rakyat. Satu daripadanya adalah " Juara Rakyat ". Persoalannya siapa yang dimaksudkan " Juara Rakyat ", atau yang lebih baik adalah " Rakyat Juara " ?.

Kita lihat, setiap kali adanya PRK, semua pemimpin peringkat Pusat atau Negeri khususnya BN akan turun menyerang dengan segala kudrat yang ada. Kesannya, hotel - hotel akan mula ditempah sehinggakan tiada lagi rumah - rumah tumpangan yang boleh digunakan untuk menginap. Secara tidak langsung ini memberi ruang kepada pihak PR untuk mencari rumah - rumah sewa kampung atau masjid - masjid, surau dan sebagainya sebagai tempat berlabuh. Kesannya mereka akan lebih dekat dengan rakyat. Rakyat akan lebih rapat dan inilah konsep turun padang yang sebenar. Secara psikologinya, golongan ini menggunakan pendekatan " participation " - ( penyertaan dalam masyarakat ) selama mana tempoh berkempen ini dijalankan.

Manakala, pimpinan BN lebih kepada gaya hidup mewah yang kurang sekali memanfaatkan masa sepenuhnya bersama pengundi. kalau adapun jarang yang mahu tidur sebantal, makan semeja, atau lebih lagi " Berak Sejamban ". Lupakah kita bagaimana Bruno Mencer - begitu mudah mempengaruhi masyarakat Penan Sarawak dek kesanggupan menjalani kehidupan bersama selama bertahun - tahun.

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Terlalu banyak imbuhan serta janji - janji pilihanraya yang bertumpu kepada satu kaum sahaja. Akibatnya kaum yang lain akan berkecil hati. Implikasinya, ada yang memboikot pilihanraya dan lebih kronik lagi, beralih arah kepada pihak lain.



Pilihanraya negeri Sarawak, sudah hampir di depan. Jentera penggempur perlu siap siaga dalam menyusun langkah serta strategi bijak. banyak kali, pendekatan tidak popular ( unpopular ) mengatasi pendekatan yang popular. Setiap pemimpin perlu turunkan kesombongan dan keangkuhan mereka. Amalkan motto Khalifah Kedua Islam - Umar Al - Khatab " Jika Manusia Kelaparan, Akulah Yang Pertama Sekali Merasa lapar, Jika Manusia Kenyang, Akulah Yang Terakhir Akan Kenyang ".


Cukuplah merasa diri perlu dihormati, dan janganlah memandang rendah pihak yang berada di bawah, kerana, ketika kita berada di atas, banyak kali kita melihat manusia di bawah itu cukup kerdil dan kecil. Tetapi harus diingat, mereka yang berada di bawah, barangkali bukan hanya melihat kekerdilan kita yang seorang, bahkan langsung tidak mampu melihat kewujudan kita. Belajarlah melalui sejarah.


Fikir - fikirkan........ Salam